Berita

SIMPOSIUM USAHAWAN KONTRAKTOR SIRI 7 BAHAGIAN BETONG & SRI AMAN
Tarikh : 16 Apr 2019  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

KUCHING: Kontraktor Bumiputera harus bersedia untuk bersaing dan mendapat manfaat daripada projek pembangunan di Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan telah mengumumkan per-untukan yang besar untuk pembangunan infrastruktur seperti jalan, bekalan air dan elektrik.

“Justeru, peluang yang ada seharusnya digunakan sepenuhnya oleh kontraktor tempatan.

“Kita mahukan anda semua terlibat dalam pembangunan infrastruktur berskala besar ini,” ujarnya ketika berucap pada majlis Simposium Kontraktor Daerah Betong yang diadakan di Dewan Layar, Betong kelmarin.

Awang Tengah berkata, konsep Ali Baba seharusnya tidak wujud lagi kerana ia hanya akan merugikan kontraktor yang memperoleh sesuatu tender.

“Justeru, lengkapkan syarikat anda dengan segala perkakasan dan pastikan khidmat yang diberikan memuaskan.

“Sudah tentu kontraktor yang cemerlang akan mudah memperoleh kontrak lain dengan rekod yang baik,” tambahnya.

Menyentuh isu dana pembangunan, Awang Tengah berkata peruntukan yang diberikan oleh kerajaan pusat tidak mencukupi dan kerajaan negeri telah mengambil pendekatan mengumumkan bajet yang besar untuk tahun ini.

“Kita mahu kualiti hidup rakyat terus meningkat terutama di luar bandar dan langkah ini diharap dapat menpercepatkan proses pembangunan negeri kita,” tambah beliau.

Lebih 300 kontraktor dari sekitar Betong menyertai simposium tersebut yang turut dihadiri Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak Malcolm Mussen Lamoh dan ADUN Saribas Mohammad Razi Sitam.