News

Kerajaan Sarawak terus bantu golongan usahawan
Posted on : 17 Oct 2021  Source of News: Press Release
 

 

KEMENTERIAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI, TERMINAL PERINDUSTRIAN DAN PEMBANGUNAN USAHAWAN

 

 

KENYATAAN MEDIA

Lawatan Kerja Bersama Timbalan Ketua Menteri Sarawak

ke Gedong, Sarawak

16  Oktober 2021

 


Yang Berhormat Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan, Timbalan Ketua Menteri Sarawak selamat tiba di Gedong, Sarawak pada 16 Oktober 2021 untuk lawatan kerja sehari.


Turut mengiringi Yang Berhormat Datuk Haji Mohd Naroden Haji Majais, Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) Sarawak, Encik Dzulkornain bin Masron, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) Sarawak, Tuan Haji Brahim Lumpu, Residen Bahagian Samarahan, Pejabat Daerah Simunjan, pegawai-pegawai dari  MINTRED Sarawak, Majlis Daerah Simunjan, Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) serta Agro Bank. Lawatan kerja ini bertujuan untuk meninjau sendiri akan keberkesanan bantuan-bantuan yang disalurkan kepada usahawan tempatan melalui Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).


Sesi lawatan kerja tersebut diteruskan dengan penyerahan mock cheque Projek Transformasi Usahawan Desa Sarawak (TUDS) Kawasan Gedong kepada Encik Tambi bin Dan, Pengerusi Koperasi Premier Gedong Berhad untuk projek naik taraf kemudahan di Anjung Usahawan Gedong. Kerja-kerja naik taraf ini akan dilaksanakan oleh Majlis Daerah Simunjan dengan nilai peruntukan sebanyak RM85,800.


Selain lawatan, Yang Berhormat Timbalan Ketua Menteri Sarawak juga telah menyampaikan mock cheque untuk bantuan kewangan seperti Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS), Graduan Ke Arah Keusahawanan (GERAK), Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV) dan Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) kepada usahawan-usahawan di kawasan Gedong. Puan Isah binti Lias telah menerima mock cheque bernilai RM140,000 untuk SPIKS. Encik Raduan bin Buje, telah menerima mock cheque bernilai RM27,000 untuk 2 penerima GERAK dan Puan Siti Norimah binti Jaini, telah menerima mock cheque bernilai RM146,000 untuk 16 penerima USTEV. Manakala, Puan Dayang Nur Hafifah bte Awang Abdul Rahman dan Encik Penni bin Sukor telah menerima mock cheque bernilai RM3,761,572 untuk 91 penerima SKMS.


SPIKS, GERAK dan USTEV merupakan program bantuan kewangan keusahawanan yang ditawarkan oleh MINTRED Sarawak dan dilaksanakan secara kerjasama dengan SEDC, sebuah badan berkanun milik kerajaan untuk mempromosikan pembangunan komersial, perindustrian dan sosio-ekonomi Negeri. Manakala, SKMS merupakan program bantuan kewangan yang dilaksanakan secara kerjasama di antara MINTRED Sarawak, SEDC dan Agrobank. Agrobank sebuah institusi kewangan yang aktif dalam menawarkan produk dan solusi kewangan patuh syariah bagi industri pertanian di Malaysia.


Setakat September 2021, sebanyak RM30.13 juta telah diluluskan kepada 411 PKS Bumiputera dan RM48 juta telah diluluskan kepada 1,463 orang usahawan B40, mikro dan kecil. Buat masa ini, penerima SPIKS dan SKMS sedang menikmati moratorium selama enam bulan dan subsidi kadar faedah bagi tempoh 42 bulan (3.5 tahun). Pada masa yang sama, kelulusan bernilai RM7.76 juta telah dimanfaatkan oleh 652 usahawan belia di seluruh Sarawak melalui program GERAK dan USTEV.


SPIKS merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak bagi membantu PKS Bumiputera untuk mengembangkan perniagaan mereka dari segi modal kerja, pembelian mesin serta peralatan atau ubahsuai premis perniagaan. Skim ini menawarkan pinjaman sehingga RM250,000 dengan kadar faedah 4% berdasarkan baki bulanan berkurangan.


Manakala SKMS, merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi membantu usahawan dalam kalangan B40, mikro dan kecil untuk mengekalkan perniagaan mereka semasa penularan wabak Covid-19 ini. Bantuan ini adalah terbuka kepada semua kaum dan ianya menawarkan pinjaman maksimum RM50,000 dengan kadar faedah 0% hingga 4% untuk modal kerja, pembelian mesin serta peralatan atau ubahsuai premis.


Selain itu, melalui program GERAK dan USTEV, graduan dan belia berkemahiran teknikal, tanpa mengira kaum, adalah layak untuk mendapat geran bernilai sehingga maksimum RM20,000 bagi memula dan mengembangkan perniagaan mereka. Geran-geran ini boleh digunakan sebagai modal kerja atau pembelian mesin atau kedua-duanya sekali.


Permohonan bagi GERAK, USTEV, SKMS dan SPIKS masih lagi dibuka dan borang permohonan boleh dimuat turun melalui laman sesawang kementerian.