KUALA LUMPUR, 2 Ogos: Sarawak mencipta nama dengan kejuaraan Anugerah Pavilion Citra Negeri dalam Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Peringkat Kebangsaan 2025 sempena Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D).
Anugerah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disusuli persembahan tarian tradisional yang memeriahkan suasana di hadapan pavilion berkenaan.
Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Connie Christopher Kesa berkata, kemenangan tersebut adalah hasil kerjasama erat antara usahawan dan agensi kerajaan.
“Kami sangat gembira dan tidak menyangka Sarawak muncul sebagai juara pavilion terbaik bagi SDSI, walaupun raptai sebelum ini hanya dilakukan secara rawak.
“Ini semua hasil kerjasama 11 usahawan dan agensi yang banyak membantu,” katanya kepada TVS.
Pelbagai produk tempatan dipamerkan termasuk kraftangan manik, makanan tradisional Melanau, gula apong, kek lapis, linut, dan terung asam, dengan sebahagian besar habis terjual sebelum program tamat.
Connie turut memaklumkan, MINTRED akan meneruskan promosi melalui Showcase Usahawan Sarawak di Queensbay Mall, Pulau Pinang, dari 28 Ogos hingga 1 September 2025.
Selain anugerah pavilion terbaik, Sarawak turut meraih kejayaan melalui Anugerah Johan Ikon SDSI 2025 yang dimenangi RFM Global Corporation Sdn Bhd, syarikat terkenal dengan produk berasaskan terung asam.
Pengasasnya, Fitriah Rahbi, berkata, inovasi produk tersebut membolehkan sayuran itu dikeringkan dan dijadikan produk makanan bernilai tambah yang menarik minat pelbagai lapisan pengguna.
“Terung asam diusahakan oleh usahawan kampung yang menanamnya dengan penuh titik peluh. Buah ini kemudian diinovasikan menjadi produk makanan yang tinggi vitamin C.
“Produk kami kini turut dikomersialkan di Brunei dan United Kingdom, dan akan diperluaskan ke Singapura,” katanya. – TVS
Pautan Asal berita: https://www.tvsarawak.my/2025/08/02/sarawak-muncul-juara-pavilion-citra-negeri-sdsi-2025/