Produk Sarawak bakal dipasarkan di Mustafa Centre Singapura
Posted on 23 Jul 2026
Source of News: TVS

KUCHING, 23 Julai: Produk keluaran Sarawak berpotensi menembusi pasaran Singapura apabila pusat beli-belah terkemuka, Mustafa Centre, menyatakan kesediaan menyediakan pavilion khas bagi memasarkan produk halal dari wilayah ini.
Pengarah Mustafa Centre, Rahmat Shah berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa produk tempatan yang berpotensi mendapat sambutan di Singapura menerusi penganjuran Borneo International Halal Showcase (BIHAS) 2026 yang berlangsung sejak 21 Julai lalu. “Kami merancang mewujudkan sebuah pavilion kecil di Mustafa Centre bagi mempamerkan produk-produk dari Sarawak seperti lada hitam, lada putih, mentega kacang, jus, makanan ringan dan sebagainya. “Ruang jualan itu sudah disediakan dan kami pun bersedia untuk memulakan pengedaran secepat mungkin. Kini, kami hanya menunggu bekalan produk daripada pembekal,” katanya ketika ditemui TVS di sini, hari ini.
Beliau berkata, antara produk lain yang turut menarik perhatiannya ialah beras Bario dan madu tempatan yang dilihat mempunyai potensi untuk dipasarkan di Singapura.
Dalam pada itu, Rahmat menyifatkan BIHAS sebagai platform perdagangan yang berjaya menghimpunkan pengeluar serta pembeli antarabangsa, selain membuka peluang jaringan perniagaan baharu. “Bagi saya, BIHAS sewajarnya diadakan setiap tahun supaya kita dapat berinteraksi secara langsung dengan pengeluar produk serta memperluaskan jaringan perniagaan,” jelasnya lagi. Mengulas usaha Sarawak untuk muncul sebagai hab halal serantau, Rahmat berkata wilayah ini mempunyai potensi besar, manakala penjenamaan Borneo secara kolektif mampu menjadi nilai tambah dalam memperkenalkan produk tempatan ke pasaran global.
Menurutnya, kemampuan pengeluar Sarawak memenuhi keperluan pasaran Singapura bergantung kepada aspek kemampanan serta kesinambungan bekalan produk. “Apa yang penting bukan sekadar produk itu sendiri, tetapi juga kemampanan pengeluaran dan kesinambungan bekalannya. “Itulah aspek yang amat saya tekankan, dan berdasarkan pertemuan saya dengan para pengeluar tempatan hari ini, saya melihat mereka mempunyai potensi yang besar. Oleh itu, saya percaya terdapat banyak peluang untuk menjalin kerjasama,” ujar beliau.
Dalam perkembangan lain, beliau menyifatkan pelancaran AirBorneo sebagai langkah strategik yang bakal mengukuhkan hubungan perdagangan antara Sarawak dan Singapura melalui akses penerbangan yang lebih mudah. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengasas Global Halal Alliance, Mohammad Azul Shah atas usaha dan dedikasi dalam membangunkan serta mempromosikan industri halal. Rahmat berharap Azul dapat kembali menyertai BIHAS pada edisi akan datang selepas pulih daripada masalah kesihatan. – TVS
Pautan asal berita: https://www.tvsarawak.my/2026/07/23/produk-sarawak-bakal-dipasarkan-di-mustafa-centre-singapura/