News

 

BIHAS 2026 buka laluan produk halal Sarawak ke pasaran China, Eropah

Posted on 23 Jul 2026
Source of News: TVS




KUCHING, 23 Julai: Borneo International Halal Showcase (BIHAS) 2026 menjadi platform strategik yang menghubungkan pembeli antarabangsa dari China dan Eropah dengan pengeluar halal Sarawak, sekali gus membuka peluang kerjasama perdagangan serta memperluaskan pasaran produk tempatan.

Pemilik Dongguan Tongpai Food Co. Ltd dari China, Lawrence Liu Rui berkata, penyertaannya di BIHAS memberi peluang untuk bertemu pembekal tempatan selain membina rangkaian perniagaan yang berpotensi membawa kepada kerjasama jangka panjang. “Ini kali pertama saya datang ke Sarawak yang bukan sahaja indah tetapi mempunyai sistem halal yang sangat kukuh, dan BIHAS merupakan platform yang sangat baik untuk bertemu rakan niaga tempatan serta meneroka peluang perdagangan. “Kami telah bertemu ramai pembekal dan peniaga tempatan serta berbincang mengenai kerjasama pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui TVS hari ini. Beliau mengakui Sarawak berpotensi besar dalam industri halal menerusi sumber pertanian yang melimpah serta sistem pensijilan halal yang diyakini. Katanya, beberapa produk tempatan dikenal pasti berpotensi memasuki pasaran China termasuk makanan sedia dimakan, makanan laut dan sos tempatan. Mengulas perkembangan industri halal di China, Lawrence berkata pasaran tersebut mempunyai potensi besar pada masa hadapan berikutan peningkatan permintaan terhadap produk halal di peringkat global.

Sementara itu, Pengasas Bersama Halok Pte Ltd yang juga anggota Global Halal Alliance, Emanuele Marelli berkata, BIHAS membantu syarikatnya berhubung secara langsung dengan usahawan serta pengeluar tempatan yang menawarkan produk berkualiti tinggi. “Daripada apa yang kami lihat, kualiti produk Sarawak sangat tinggi dan standard pengeluarannya juga sangat ketat jadi saya percaya produk-produk ini mempunyai potensi besar untuk berjaya di pasaran Eropah. “Di BIHAS juga, ramai yang ingin bekerjasama dan membina sesuatu yang memberi manfaat bersama. Cabaran seterusnya adalah merealisasikan perancangan yang dibincang kerana pelaksanaan itu sendiri adalah perkara yang paling penting,” ujar beliau ketika ditemui TVS. Beliau berkata, syarikatnya turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan Sarawak membabitkan komitmen pembelian produk bernilai empat juta euro dalam tempoh tiga tahun. Menurut Emanuele, pihaknya telah mengenal pasti antara lapan hingga 10 produk tempatan untuk diperkenalkan ke pasaran Eropah termasuk lada hitam dan minuman. Beliau percaya komitmen kerajaan Sarawak dalam membangunkan industri halal menjadi antara faktor yang meningkatkan keyakinan pelabur serta pembeli antarabangsa. “Saya melihat kerajaan negeri mempunyai komitmen yang sangat kuat dalam membangunkan industri halal. Pelancaran AirBorneo baru-baru ini juga menunjukkan dengan adanya sokongan dan kemahuan politik yang jelas, ia akan membantu Sarawak mempunyai asas yang kukuh untuk terus maju,” katanya lagi. – TVS