picture

News

 

Awang Tengah alu-alukan syarikat dari UAE teroka potensi pelaburan di Sarawak

Posted on 02 Nov 2023
Source of News: Suara Sarawak

KUALA LUMPUR: Sarawak mengalu-alukan syarikat peneraju global dalam tenaga boleh diperbaharui serta teknologi mampan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk meneroka potensi pelaburan di wilayah ini.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Sarawak sangat komited dan serius dalam membangunkan penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon asli (CCUS).

“Sehubungan itu, kita mengalu-alukan Abu Dhabi Future Energy Company (MASDAR) dari UAE untuk meneroka potensi pelaburan di Sarawak,” katanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan itu berkata demikian dalam kenyataan selepas bertemu Ketua Pegawai Eksekutif MASDAR Mohamed Jameel Al Rahami di ibu negara, semalam.

Pertemuan yang membincangkan potensi pelaburan dalam projek tenaga boleh diperbaharui di Sarawak itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

MASDAR ialah peneraju global dalam tenaga boleh diperbaharui dan teknologi mampan.

Pada Oktober lalu, MASDAR menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk pelaburan bernilai AS$8 bilion bagi projek tenaga boleh diperbaharui sehingga 10 gigawatt (GW).

Perkongsian strategik tersebut dijangka menyumbang dengan ketara transformasi kelestarian tenaga di Malaysia.