News

 

23 taman perindustrian di Sarawak tawar peluang pelaburan strategik

Posted on 26 Jul 2024
Source of News: TVS

23 taman perindustrian di Sarawak tawar peluang pelaburan strategik – MINTRED

Wakil MINTRED mempromosikan peluang pelaburan di Sarawak pada SPARK 2024 di KLCC. Foto, Regina Lee (TVS).

 

KUALA LUMPUR, 26 Julai: Sebanyak 23 taman perindustrian di Sarawak menawarkan peluang pelaburan strategik kepada syarikat yang mahu mencapai pertumbuhan dan pembangunan mampan di wilayah berkenaan. Penolong Setiausaha di Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak, Nazihah Anuar berkata daripada jumlah itu sembilan merupakan taman perindustrian sedia ada. Katanya, tiga lagi dalam pembinaan manakala tujuh dalam fasa perancangan dan empat baharu disiapkan. “Sehubungan itu MINTRED dan agensinya, InvestSarawak menjemput pemain industri meneroka peluang pelaburan di taman-taman perindustrian di Sarawak. “Para pelabur yang berminat akan diberi keterangan dan bimbingan oleh agensi pelaksana InvestSarawak dari mula hinggalah projek pelaburan mereka dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada TVS ketika ditemui pada Ekspo Pelaburan Taman Perindustrian Selangor (SPARK) 2024 Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini. Sementara itu jelas Nazihah menerusi kelebihan pelbagai sumber semula jadi, lokasi strategik dan persekitaran perniagaan yang kondusif, Sarawak menawarkan peluang yang tiada tandingan bagi pelabur yang mencari pertumbuhan dan pembangunan mampan. “Lokasi strategik Sarawak menjadi pintu masuk ke pasaran serantau serta memberikan pelabur akses kepada pangkalan pengguna yang dinamik dan peluang untuk pengembangan serantau, di samping kewujudan peluang pekerjaan yang banyak. “Sebagai contoh di Taman Perindustrian Samalaju, terdapat lebih 15,000 peluang pekerjaan dan dengan kewujudan taman perindustrian lain, lebih banyak peluang dapat diwujudkan,” katanya.

Dalam pada itu beliau memaklumkan ini merupakan penyertaan kali kedua MINTRED pada SPARK 2024. “Kali ini, kita memperkenalkan InvestSarawak sebagai ‘one stop agency’ dalam usaha menarik lebih ramai pelabur tempatan dan asing untuk melabur di Sarawak,” katanya.

SPARK 2024 berlangsung selama tiga hari bermula 25 Julai hingga esok. -TVS.

Pautan Asal berita: https://www.tvsarawak.my/2024/07/26/23-taman-perindustrian-di-sarawak-tawar-peluang-pelaburan-strategik-mintred/