KUCHING: Sarawak merekodkan jumlah perdagangan RM193.4 bilion pada 2023 merangkumi RM130.8 bilion eksport dan RM62.6 bilion import. Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, produk dagangan utama Sarawak adalah bahan api mineral, minyak sawit serta produk elektrikal dan elektronik. "Eksport utama Sarawak pada 2023 adalah perlombongan berjumlah RM76.9 bilion, pembuatan RM35.8 bilion dan pertanian RM17.4 bilion. "Penyumbang utama lain termasuklah gas asli cecair, logam, kayu, produk berasaskan minyak sawit dan sebagainya," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran Hari Eksport Sarawak di Hotel Imperial di sini hari ini anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan kerjasama kerajaan Sarawak.
Ujar Awang Tengah lagi, keseluruhannya sektor import-eksport Sarawak adalah bahagian penting dalam ekonomi negeri dengan potensi signifikan. Bagaimanapun katanya, untuk berjaya adalah penting untuk memahami dan mematuhi permintaan spesifik pasaran, keperluan dan pensijilan, termasuk peraturan ketat. Mengulas mengenai program tersebut, Awang Tengah berkata, ia bertujuan menyediakan maklumat dan panduan kepada para usahawan mengenai tatacara eksport. Katanya, pasaran Sarawak adalah kecil dan aktiviti eksport dan perdagangan adalah penting untuk pertumbuhan Sarawak. Sementara itu, ini adalah kali ketiga Hari Eksport diadakan di Sarawak selepas 2016 dan 2018, kata Ahli Lembaga MATRADE Dato Mohammad Medan Abdullah. MATRADE katanya, merancang untuk mengadakan Hari Eksport di enam negeri tahun ini di Melaka, Pulau Pinang, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur dan Perak. Pada majlis itu, Awang Tengah turut menyampaikan sijil penghargaan kepada dua pengeksport Sarawak yang berjaya di bawah program MATRADE iaitu Kit Hin Company Sdn Bhd dan Kim Hin Industry Berhad.
Pautan asal berita: https://www.utusanborneo.com.my/2024/08/16/sarawak-rekod-jumlah-dagangan-rm1934-bilion-pada-2023-awang-tengah