News

 

Pangkalan Data Usahawan Sarawak bakal diwujudkan pertengahan 2025: Awang Tengah

Posted on 15 Jul 2024
Source of News: Utusan Borneo

oleh Marlinda Mardzuki / 2024-07-13


Awang Tengah (belakang, tengah) serta tetamu kehormat merakamkan kenangan bersama penerima anugerah dan bantuan pembangunan Suruhanjaya Koperasi Malaysia pada Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Sarawak 2024 di Kuching, hari ini. - Gambar Chimon Upon
Awang Tengah (belakang, tengah) serta tetamu kehormat merakamkan kenangan bersama penerima Bantuan MINTRED pada majlis perasmian Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Sarawak 2024 di Kuching, hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Satu platform pemantauan, promosi dan penyertaan bagi program usahawan di negeri ini yang dikenali sebagai Pangkalan Data Usahawan Sarawak bakal diwujudkan pada pertengahan 2025. Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, platform ini digunakan untuk memastikan program dan bantuan pembangunan usahawan sampai kepada golongan sasar dengan tepat.  "Sekarang ini, kita sedang dalam proses mengemas kini segala data yang diperlukan, melibatkan kerjasama semua agensi berkaitan sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan. "Ia akan mengandungi semua data berkaitan yang dapat memberi manfaat kepada usahawan termasuk dari segi bantuan yang diperlukan sama ada dari sudut latihan, kewangan dan sebagainya. "Oleh itu, kita menyasarkan Pangkalan Data Usahawan Sarawak akan diwujudkan pada pertengahan 2025," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan majlis Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Sarawak (HKNPNS) 2024 di Plaza Merdeka di sini, hari ini. Mengulas lanjut, Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, pewujudkan pangkalan data itu juga dapat membantu mengenal pasti faktor-faktor yang menyebabkan kegagalan sesuatu keusahawanan. "Selain itu, pangkalan data berkenaan akan memudahkan rancangan bantuan pihak berkaitan. Apabila kita mempunyai platform begini, semua data akan mudah diakses dan diselaraskan.  "Jadi masalah yang timbul boleh diselesaikan dengan pantas dengan mengarahkan agensi-agensi terlibat membantu.  "Ini sekali gus meningkatkan kecekapan dan pada masa yang sama dapat memantau koperasi-koperasi di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Sarawak," jelasnya.

Awang Tengah memberitahu, pangkalan data itu turut bertujuan mengelak sebarang pertindihan dari segi bantuan, geran, peruntukan dan sebagainya yang disalurkan untuk pembangunan para usahawan. "Disebabkan itu, jawatankuasa koordinasi juga penting untuk mengelak berlaku pertindihan supaya peruntukan yang ada dapat diperluaskan lagi kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan dan tidak hanya tertumpu di satu-satu kawasan. "Kita tidak mahu ada usahawan terpinggir daripada mendapat manfaat, oleh sebab itu amat penting untuk adanya pangkalan data ini bagi memudahkan penyelarasan," tegasnya. 

Berkenaan prestasi dan laporan usahawan koperasi yang tidak aktif, Awang Tengah berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan SKM bagi mengenal pasti punca masalah yang berlaku. "Apabila mengetahui punca, kita boleh rancang jenis-jenis bantuan yang perlu kita salur kerana mahu mereka terus berkembang maju dan berjaya. "Malah berupaya menerokai banyak lagi sektor perniagaan baharu khususnya berkaitan ekonomi digital," kata beliau. 

Terdahulu, majlis menyaksikan penyampaian anugerah kepada lima kategori koperasi yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang 2023, Peluncuran Buku Profil 50 Koperasi Terbaik Sarawak 2023, penyampaian tiga cek replika Bantuan Pembangunan SKM berjumlah RM340,000 dan tiga cek Pembiayaan Pinjaman Tabung Modal Pusingan SKM berjumlah RM7.44 juta.

Turut disampaikan ialah lima cek replika Bantuan MINTRED iaitu (SEDC) GERAK (Graduan Ke Arah Keusahawanan) kepada 59 penerima sebanyak RM388,000, (Agrobank) SKMS (Skim Kredit Mikro Sarawak) untuk 14 penerima berjumlah RM484,000, (SEDC) USTEV (Usahawan Teknikal dan Vokasional) kepada 87 penerima dengan RM618,500, (SDEC) Go Digital (Program Go Digital Sarawak) kepada 210 penerima berjumlah RM2.10 juta dan (SEDC) SPIKS (Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana) kepada 20 penerima berjumlah RM3.81 juta. HKNPNS 2024 diadakan selama tiga hari mulai 12 Julai dengan objektif memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada gerakan koperasi terhadap sumbangan dan peranan koperasi dalam pembangunan ekonomi negara.

Program itu juga berfungsi sebagai medan pertemuan koperasi-koperasi bertukar idea dan pendapat serta mewujudkan jaringan perniagaan dalam kalangan koperasi dan usahawan.  Sebanyak 30 reruai disediakan untuk koperasi dan agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensi kerajaan negeri memperkenal, mempromosi, mempamer serta menjual pelbagai produk dan perkhidmatan. 

Hadir sama, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Dr Ripin Lamat, Pengerusi SKM Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B), Ahli Lembaga Pengarah SKM Rodiyah Sapiee dan Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Dato Sri Mohd Naroden Majais.