News

 

Aspirasi tenaga diperbaharui Sarawak diperkukuh dengan pelaburan RM4.46 bilion menerusi kerjasama dengan China

Posted on 12 Dec 2024
Source of News: Utusan Borneo

Awang Tengah (tiga kiri) bersama delegasi Sarawak yang lain mendengar taklimat daripada wakil CRE International ketika melawat Pusat Arahan syarikat itu.

Awang Tengah (tiga kiri) bersama delegasi Sarawak yang lain mendengar taklimat daripada wakil CRE International ketika melawat Pusat Arahan syarikat itu.

 

KUCHING: Aspirasi tenaga diperbaharui Sarawak akan diperkukuhkan dengan penerokaan pelaburan AS$1.5 bilon (RM4.46 bilion) menerusi kerjasama dengan China dalam proses pengintegrasian sistem penyimpanan tenaga termaju.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kerjasama itu dapat meningkatkan kebolehpercayaan dan kecekapan infrastruktur tenaga diperbaharui.

"Kerjasama ini menekankan dedikasi kita (kerajaan negeri) untuk memajukan agenda tenaga diperbaharui Sarawak dan menarik pelaburan global bagi meyokong pembangunan mampan," katanya dalam satu kenyataan akhbar, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan mengetuai delegasi Sarawak mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil daripada CRE International Limited, diketuai Pengerusinya Zhang Yan di Beijing, China semalam.

Pertemuan itu diadakan bagi membincangkan cara memajukan lagi aspirasi tenaga diperbaharui Sarawak.

Zhang turut mengesahkan komitmen CRE International dengan berkata: "Perkongsian kami dengan Sarawak membuka jalan untuk menggabungkan kepakaran global dengan potensi tempatan, memupuk penyelesaian inovatif untuk pertumbuhan tenaga diperbaharui."

Penerokaan projek-projek solar dan tenaga hidro di Sarawak seiring dengan matlamat tenaga hijau negeri ini, tambah kenyataan itu.

Semasa lawatan kerja ke ibu pejabat CRE International, delegasi Sarawak berpeluang menyaksikan Pusat Arahan yang mengguna pakai sistem kawalan dan pemantauan moden serta canggih dipamerkan bagi semua projek di 31 wilayah di China, termasuk pelaksanaan praktikal kecerdasan buatan (AI).

Antara yang hadir sama adalah Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Dato Sri Mohd Naroden Majais, Setiausaha Tetap MINTRED Dzulkarnain Masron, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Awang Zamhari Awang Mahmod, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sarawak Timothy Ong serta Pengerusi Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Datuk Ismawi Ismuni.

Pautan asal berita:
https://www.utusanborneo.com.my/2024/12/04/aspirasi-tenaga-diperbaharui-sarawak-diperkukuh-dengan-pelaburan-rm446-bilion-menerusi